| 26 Julai 2010
Pada 15 Julai 2010, Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia cawangan pusat telah mengadakan Majlis Sambutan Isra’ Mikraj bertempat di Sekolah Rendah Taman Ilmu dan Budi (SETIA BUDI).Tujuan majlis ini dianjurkan adalah memberi pendedahan kepada hadirin mengenai peristiwa disebalik Isra’ Mikraj dan secara tidak langsung mengeratkan hubungan antara ahli. Majlis mendapat sambutan yang menggalakkan daripada ahli-ahli dari cawangan Lembah Klang dan cawangan yang lain. Seramai 25 orang ahli dari PSSCMUIAM menyertai majlis ini. Antara tetamu-tetamu yang hadir pada malam tersebut adalah Yang Berbahagia Tuan Guru Utama PSSCM Datuk Hj Maideen B Kadir Shah,Encik Rosman, Encik Fizol, Ustaz Khaharuddin dan undangan istimewa dari cawangan Pulau Pinang, Ustaz Haron B Din dan lain-lain lagi.
Majlis dimulai dengan solat Isya’ berjemaah di surau sekolah yang diimamkan oleh Ustaz Khaharuddin. Sesudah itu, majlis diteruskan dengan bacaan tahlil, berzanji dan marhaban. Pada pukul 11.00 malam, ceramah sempena Isra’ Mikraj telah disampaikan oleh Ustaz Haron B Din yang berlangsung sehingga jam 1.00 pagi. Kemudian, majlis diserikan lagi dengan ucapan Yang Berbahagia Tuan Guru Utama PSSCM, Datuk Hj Maideen B Kadir Shah. Tepat jam 1.30 pagi, majlis berakhir dengan jamuan yang disediakan untuk para hadirin.








