Berita Terkini

Pencapaian

Kejayaan PSSCMUIAM di dalam menganjurkan pelbagai aktiviti yang bukan sahaja bercorakkan persilatan semata-mata, telah berjaya membuktikan akan kemampuan Silat Cekak dalam mendidik penuntut-penuntutnya menjadi insan yang mahir dalam pelbagai bidang.

Pelbagai aktiviti berbentuk ilmiah yang telah berjaya dilaksanakan di dalam membina modal insan yang cemerlang. Berikut merupakan pencapaian yang pernah dikecapi oleh PSSCMUIAM :

1993

Konvensyen Persilatan Melayu Kebangsaan

Program Konvensyen Persillatan Melayu Kebangsaan merupakan program yang telah dijalankan pada 30-31 Januari 1993 di UIAM Kampus Petaling jaya. Terdapat beberapa acara yang telah dijalankan sepanjang 2 hari program iaitu Konvensyen Persilatan Melayu dan juga Demo Persilatan yang diadakan secara besar-besaran.

Program tersebut berjaya membuka mata pihak pentadbir dan mahasiswa akan kehebatan seni warisan nenek moyang kita.

 

1996

Lagenda Utara

Program Lagenda Utara telah diadakan pada sekitar tahun 1996 semasa En. Faizal Bin Mohd. Yusof menjadi Yang Di Pertua PSSCMUIAM ketika itu. Program ini bertujuan melawat dan menziarahi tempat-tempat yang berkaitan dengan sejarah Silat Cekak.

Antara tempa-tempat yang dilawati adalah Makam Tuan Hussein Kedah, rumah YM Guru Utama, Kota Kuala Muda dan rumah kelahiran Silat Cekak di jalan Gunung, Alor Setar.

 

Demo Perdana Konvokesyen UIAM

Demo Perdana Konvokesyen UIAM telah diadakan sekitar bulan Ogos 1996. Pihak PSSCMUIAM telah diberi kepercayaan oleh pihak pentadbiran untuk membuat demonstrasi silat secara besar-besaran di hadapan ribuan penonton sempena Konvokesyen UIAM.

Demonstrasi ini berjaya menarik lebih ramai ahli di UIAM.

 

 

2002

Seminar Silat Cekak Peringkat Nasional

Program Seminar Silat Cekak Peringkat Nasional telah diadakan pada 5 Januari 2002 di Al-Malik Faisal Hall, Pusat Matrikulasi UIAM.

Program ini dijalankan atas dasar untuk meluaskan pandangan pelajar terhadap kepentingan Silat Cekak yang bukan sahaja seni mempertahankan diri yang asli, malah seni warisan bangsa yang tiada nilainya. Seminar ini telah dihadiri oleh ahli-ahli PSSCM IPT dari seluruh negara.

 

2003

Seminar Ulama’ Berjiwa Panglima

Program Seminar Ulama’ Berjiwa Panglima merupakan program yang diadakan untuk menyingkap kisah-kisah ulama’ di sekitar Tanah Jawi yang bukan sahaja tinggi ilmu agamanya, malah hebat dalam ilmu persilatan mereka. Beberapa pakar sejarah telah dijemput untuk membentangkan kerja mereka.

Program ini berjaya menarik lebih dari seribu peserta yang datang dari pelbagai aliran persilatan. Secara tidak langsung, pogram ini berjaya membuka mata masyarakat tentang jasa-jasa dan kehebatan ulama’ zaman silam.

 

Lawatan ke Borneo

Program ini telah dianjurkan oleh PSSCMUIAM dengan kerjasama daripada beberapa IPT di sekitar Sabah, Sarawak dan Brunei. Program ini diadakan selama enam hari iaitu dari 10 April hinggalah 15 April 2006.

Tujuan utama program ini diadakan, adalah untuk mengkaji asal-usul sejarah Kepulauan Borneo terutamanya berkaitan dengan salasilah kepahlawanan Melayu di sana. Antara tempat yang dilawati ialah Muzium Sarawak, Muzium Islam Sabah, Universiti Brunei Darul Salam, Dewan Bahasa dan Pustaka Sabah dan Sarawak dan pelbagai lagi tempat yang menarik.

 

Sayembara Sembah Gerak

Merupakan program yang telah dianjurkan oleh PSSCM Cawangan Selangor bersempena dengan Sambutan 21 Tahun PSSCM Cawangan Selangor.

Program ini telah disertai 21 pasukan dari sekitar Selangor dan beberapa pasukan jemputan. Pasukan wanita UIAM berjaya mendapat “Pasukan Wanita Terbaik”.

 

 

 

2007

Jejak Warisan Panglima (JWP)

Lawatan selama tiga hari ini telah diadakan pada 7 April hingga 9 April 2007. Lawatan ini telah dianjurkan oleh PSSCMUIAM dengan kerjasama daripada PSSCM cawangan Perak,Kedah dan Seberang Perai.

Program ini merupakan kesinambungan daripada program Lagenda Utara yang telah diadakan beberapa siri sebelum ini. Sepanjang lawatan, ahli-ahli PSSCMUIAM telah didedahkan dengan pelbagai kisah tentang pahlawan-pahlawan Melayu yang telah berjuang mempertahankan negara daripada dijajah.

Antara tempat yang telah dilawati iadalah makam Tengku Mohamad Saad, Pulau Empat Beradik, Muzium Kedah, rumah kelahiran Silat Cekak, rumah Guru Utama, Makam Diraja Langgar dan Pantai Murni.

 

Karnival Wajadiri Merdeka IPT Kebangsaan Kali Ke-1

Program “Karnival Wajadiri Merdeka: Pertandingan Persembahan Seni Silat Cekak Malaysia IPT Kebangsaan 2007” telah dianjurkan oleh PSSCMUIAM pada 4 Ogos 2007 bertempat di Kompleks Sukan Saidina Hamzah UIAM bersempena dengan program sambutan kemerdekaan Malaysia peringkat UIAM.

Pertandingan ini disertai lebih daripada 30 pasukan dari IPT seluruh negara. Persembahan demonstrasi secara berkumpulan merupakan konsep yang diguna pakai semasa pertandingan. Pasukan PSSCMUIAM berjaya merangkul Pasukan Harapan Lelaki dan Pasukan Terbaik Wanita.

 

2008

Sambutan Perayaan 42 & 43 Tahun PSSCM & Sambutan 20 Tahun PSSCMUIAM

Bersempena dengan Sambutan Perayaan 42 & 43 Tahun PSSCM yang berlangsung pada 7-8 Jun 2008, PSSCMUIAM telah diberi peluang sebagai tuan rumah bagi menjayakan program tahunan terbesar PSSCM.

Program ini yang melibatkan tentatif seperti Konvokesyen Silat Cekak, Mesyuarat Agung Tahunan, Hari Tenaga Pengajar, serta Makan Malam Perdana membabitkan kehadiran lebih 2000 ahli PSSCM seluruh negara. Sambutan yang bertemakan “Membina bangsa berbudaya” itu telah dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Serentak dengan Sambutan Perayaan 42 & 43 Tahun PSSCM, Majlis Sambutan 20 Tahun PSSCMUIAM telah diadakan bagi menyambut ulang tahun ke-20 bertapaknya silat cekak di bumi UIAM.

 

2009

Kembara Pantai Timur

Program Kembara Pantai Timur telah dianjurkan oleh PSSCMUIAM bersempena dengan Sambutan Perayaan 44 Tahun PSSCM.

Program ini diadakan disamping menjadi delegasi dari UIAM ke Sambutan Perayaan tersebut, ia juga bertujuan untuk memberi pendedahan kepada ahli PSSCMUIAM tentang penyebaran Islam di nusantaran, kebudayaan Melayu serta penghargaan kepada tokoh-tokoh pahlawan serta ulama yang menyebarkan Islam serta mempertahankan tanahair dari anasir-anasir yang mahu memupuskan budaya Melayu dan ajaran Islam.

Antara tempat yang dilawati ialah Muzium Negeri Terengganu, Makam Tokku Paloh, Taman Tamadun Islam dan pelbagai lagi tempat yang menarik.

 

2010

Makan Malam Alumni PSSCMUIAM

 

Kursus Pentadbiran PSSCM IPT Kebangsaan Kali Ke-2

PSSCM UIAM dengan kerjasama Sekretriat IPT Lembah Kelang PSSCM telah menganjurkan Kursus Pentadbiran IPT Kebangsaan 2010 bertempat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak dari 19-21 Februari 2010.

Antara objektif kursus ini ialah untuk melahirkan graduan yang berkebolehan dalam pentadbiran dan pengurusan,  mewujudkan interaksi di antara mahasiswa-mahasiswa dari IPT seluruh Negara, dan menyahut seruan kerajaan dalam melahirkan masyarakat Modul Insan yang berteraskan budaya Bangsa Melayu. Program ini telah disertai oleh 152 peserta daripada 36 IPTA dan IPTS dari seluruh Negara. Para peserta adalah di kalangan Ahli Jawatankuasa Tertinggi di setiap IPT.

Kursus tiga hari ini telah dirasmikan oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar & Alumni UIAM iaitu Professor Nik Ahmad Kamal Bin Nik Mahmod. Pengisian ceramah juga telah dimuatkan dalam kursus ini yang telah disampaikan oleh Tn Hj Ghazali Abd Rahman (LPT PSSCM) yang bertajuk ”Silat Cekak Teras Pemantapan Rohani Dan Akidah”. Antara pengisian lain ialah mereka telah didedahkan dengan pelbagai kemahiran pentadbiran iaitu mengenai mesyuarat agong tahunan yang telah disampaikan oleh En Khaharuddin Abd Rahman (Penolong Setiausaha II PSSCM), Kewangan (En Anuar Aziz, Bendahari Agong PSSCM), Perlembagaan Persatuan(En Zaini Marzuki, Jabatan Perundangan PSSCM) dan prosedur dan tatacara pelaksanaan program (En Shahrem, Penolong Ketua Penerangan PSSCM).

 

2011

Lagenda Utara

Bertepatan dengan nama program yang telah diberikan, Lagenda Utara telah dianjurkan oleh PSSCMUIAM untuk kali ke-2 bertujuan untuk memberi pendedahan kepada ahli PSSCMUIAM mengenai sejarah dan warisan Silat Cekak serta bangsa Melayu. Program yang disertai oleh 64 ahli PSSCMUIAM ini membawa mereka menyelusuri 3 buah negeri iaitu Perak, Pulau Pinang dan Kedah bermula 4/3/2011 sehingga 6/3/2011.

Pelbagai tempat yang menarik telah dilawati oleh peserta-peserta program. Pada hari pertama, para peserta dibawa melawat ke Makam Almarhum Ust Hj Hanafi Bin Hj Mat,dan  Muzium Sultan Azlan Shah. Pada hari berikutnya, Lagenda Utara menyambung lawatan ke rumah Tuan Hj Ishak B Itam serta mengadakan tahlil untuk arwah Mak Tam, Makam di-Raja Langgar, Makam Pak Hj Zain, Makam Tn Hussein Kedah, Balai Nobat, Makam Sheikh Abdul Jalil serta ke lokasi-lokasi yang mempunyai nilai-nilai sejarah yang tinggi. Pada hari terakhir, para peserta melawat Muzium di-Raja Kedah, Pekan Rabu serta  rumah kelahiran Silat Cekak.

Selain melawat ke tempat-tempat bersejarah, program ini juga ada menyelitkan pengisian dari ahli Lembaga Pelajaran dan Tatatertib PSSCM seperti Tn Hj Mohammad B Din dan Th Hj Ghazali B Abd Rahman. Program ini juga memberi peluang kepada ahli untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan membersihkan rumah anak-anak yatim di Kedah. Secara keseluruhan, Lagenda Utara telah mencapai objektifnya iaitu mengeratkan ukhuwah antara ahli serta memberi gambaran dan kefahaman tentang sejarah Silat Cekak kepada peserta.

 

Majlis Makan Malam Alumni & Ibu Pejabat

PSSCMUIAM dan PSSCM telah menganjurkan Majlis Makan Malam Alumni PSSCMUIAM dan ahli ibu pejabat yang bertempat di Main Hall, CAC, UIAM. Majlis yang membawa tema ‘Malam Sumbangan Kasih’ ini telah berjaya menarik kehadiran seramai 1,000 ahli.

Antara tetamu VIP yang turut sama hadir memeriahkan majlis tersebut adalah YM Tuan Guru Utama Datuk Hj Maideen Bin Kadir Shah, Prof Dr Ahmad Faris Ismail, Timbalan Rektor UIAM serta ahli-ahli alumni PSSCMUIAM. Objektif penganjuran majlis tersebut adalah untuk mengumpul Alumni PSSCMUIAM serta mengeratkan lagi hubungan antara Alumni PSSCMUIAM, ahli-ahli Ibu Pejabat dan ahli-ahli yang masih belajar.

Ini adalah kali ke-2 PSSCMUIAM telah menganjurkan Majlis Makan Malam yang melibatkan Alumni PSSCMUIAM.

 

Night of Warrior

Night of Warriors adalah rentetan program dalam Festival Cekak 2011 yang menghimpunkan semua disiplin seni bela diri di bawah pengurusan bahagian Pusat Sukan dan Rekreasi UIAM sekaligus sebagai simbolik kepada tema ‘Art of Unity’ pada malam tersebut. Night of Warriors telah dianjurkan pada 5 Oktober 2011 bertempat di Experimental Hall, UIAM. Semua seni bela diri turut mengadakan pameran mengenai persatuan masing-masing untuk tatapan umum.

Program tersebut dihadiri oleh tetamu-tetamu jemputan seperti En Noor Kefli B. Mad. Sulong, Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi UIAM, En Hafiz B Jamil, Setiusaha Agong PSSCM, Dr. Adli b Yaacob, Penasihat PSSCMUIAM, En. Mohd Fuad B Arshad, Penyelia PSSCMUIAM, En. Khaharuddin b Abdul Rahman, Setiausaha Agong I PSSCM merangkap Penyelia PSSCMUIAM PJ, dan En. Mohd Faizal B Yusof, Penyelia PSSCMUIAM Nilai

Antara agenda utama program ini ialah persembahan demonstrasi pembukaan dari Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia serta persembahan dari setiap seni bela diri di UIAM seperti Persatuan Silat Seni Gayong Malaysia UIAM, Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi UIAM, Kelab Taekwondo (WTF) UIAM, Kelab Aikido UIAM, serta tayangan video bertemakan ‘Art of Unity’ yang dijayakan oleh kesemua seni bela diri di UIAM.

2013

KURSUS PENTADBIRAN PSSCM IPT KEBANGSAAN 2013

Kursus Pentadbiran PSSCM IPT Kebangsaan 2013 (KPIPT 2013) telah diadakan dengan jayanya pada 30 Ogos 2013 hingga 1 September 2013 yang lalu, bertempat di Moot Court,Fakulti Undang-undang UIAM Gombak. Program ini diadakan bertujuan untuk menyelaraskan sistem pentadbiran, perlembagaan dan kewangan di setiap IPT seluruh Malaysia supaya lebih bersistematik.Kursus yang diadakan kali kedua di UIAM Gombak ini telah disertai oleh 35 institut pengajian tinggi seluruh Malaysia dengan jumlah peserta seramai 161 orang peserta serta beberapa orang fasilitator yang terdiridaripada barisan alumni PSSCMUIAM. Kursus ini telah dirasmikan oleh Rektor UIAM sendiri, Yg Bhg, Prof. Datuk Seri Dr. Zaleha Kamaruddin.

2014

KONVOI JUBLI PERAK PSSCMUIAM 2014

Pada 14 hingga 29 Januari 2014, PSSCMUIAM telah menganjurkan sebuah program konvoi ke semenanjung Malaysia iaitu Konvoi Jubli Perak yang diadakan bersempena dengan sambutan 25 tahun penubuhan PSSCMUIAM. Antara objektif utama program ini ialah untuk membina interaksi dan mengeratkan hubungan antara peserta dengan ahli-ahli PSSCM di samping ingin memberi pendedahan kepada mereka akan pentadbiran PSSCM peringkat pusat.

Dengan mendukung tema ‘BersamaBersatuSemarakkanBudaya’, konvoi ini telah berjalan selama dua minggu dengan disertai oleh 23 orang ahli dan diiringi oleh dua orang alumni PSSCMUIAM.Antara destinasi yang dituju para peserta konvoi ialah, rumah cawangan PSSCM di seluruh Malaysia, PSSCM IPT, rumah-rumah ahli PSSCMUIAM, dan tempat-tempat yang berhubung kait dengan Silat Cekak Malaysia. Selain itu, peserta konvoi juga telah berpeluang menjalankan aktiviti kemasyarakatan di beberapa tempat di setiap negeri seperti di Masjid Ubaidah di Melaka, Masjid As-Solihin di Tampoi, Masjid TanjongApi di Kuantan, dan banyak lagi.

Perjalanan peserta Konvoi Jubli Perak bermula dengan Majlis Pelepasan Konvoi Jubli Perak di UIAM, dirasmikan oleh Yang Mulia Guru Utama Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah, dengan dihadiri oleh wakil penaja utama Telekom Malaysia Berhad, TM, wakil pentadbir UIAM,Naib Presiden 1 PSSCM, Encik Roslin Bin Ali Omar, dan ahli jawatankuasa pusat PSSCM. Sejurus selepas majlis bersurai, peserta konvoi memulakan perjalanan dengan tujuh buah kereta menuju ke rumah PSSCM Cawangan Negeri Sembilan dan disambut oleh Yang Di-Pertua PSSCM CawanganNegeri Sembilan, Tn. Haji Baharudin bin MohdAbd. Rahim.Kemudian,perjalanan diteruskan ke rumah-rumah Cawangan PSSCM, rumah-rumah ahli PSSCMUIAM, PSSCM IPT, masjid-masjid di Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan,Kedah, Pulau Pinang, SeberangPerai, Perlis, Perak, dan berakhir di Kuala Lumpur pada hari ke-16.

LAPORAN ‘OUTREACH DE JAVA’

Persatuan Seni Sliat Cekak Malaysia Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (PSSCMUIAM) telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Tanah Jawa, Indonesia. Lawatan ini telah berlangsung selama dua minggu bermula dari 09/06/2014 sehingga 22/06/2014. Lawatan ini telah disertai seramai 23 orang yang terdiri daripada 22 pelajar dan seorang Alumni UIAM. Tujuan lawatan ini adalah untuk melawat sembilan Makam Wali Songo, mejalinkan persahabatan dengan university tempatan dan melawat tempat-tempat menarik sekitar Kepulauan Jawa. Antara daerah di Pulau Jawa yang telah kami lawati ialah Jakarta, Bandung, Cirebon, Demak, Kudus, Jepara, Tuban, Gersik, Surabaya, Solo dan Yogyakarta. Hubungan dua hala telah terjalin di Universiti Negeri Yogyakarta (UNY) dan Universiti Gadja Mada (UGM). Selain itu, lawatn rasmi telah diadakan di Balai Kesenian dan Pengembangan Budaya Melayu yang terletak di daerah Yogyakarta. Lawatan rasmi ini turut dihadiri dengan jemputan kehormat iaitu Dr. Adli bin Yaakob selaku Penasihat PSSCMUIAM dan En. Mohd Fuad bin Arshad selaku Penyelia PSSCMUIAM.

2015

MAKAN MALAM ALUMNI

Sempena Sambutan Perayaan Jubli Perak PSSCMUIAM, PSSCMUIAM telah menganjurkan satu majlis yang dipanggil, MAKAN MALAM PENGHARGAAN PSSCMUIAM 2015: HIMPUNAN PELAJAR DAN ALUMNI.Tujuan majlis ini diadakan adalah sebagai tanda penghargaan kepada ALUMNI yang telah banyak menyumbangkan jasa dalam penubuhan PSSCM dalam UIAM.

Tiga agenda penting yang berlangsung semasa majlis ini diadakan ialah, Perlancaran Kelas Antarabangsa PSSCMUIAM, pertubuhan kerjasama antara PSSCMUIAM dan Bahagian Alumni dan Perkhidmatan Kerjaya UIAM, dan majlis penutupan Sambutan Perayaan 25 Tahun PSSCMUIAM. Majlis ini telah dihadiri seramai lebih dari 300 tetamu daripada pelbagai sektor dan institusi. Antaranya ialah Alumni PSSCMUIAM, Ahli Jawatankuasa Pusat PSSCM, Ahli-ahli PSSCM daripada IPT Lembah Klang, wakil-wakil dari UIAM dan ramai lagi. Bagi memeriahkan lagi majlis, pelbagai persembahan menarik disediakan untuk memastikan para tetamu terhibur dan antaranya ialah persembahan Nasyid dari kumpulan ERTI. Tambahan lagi, para tetamu juga turut disajikan dengan satu persembahan khas dimana ahli-ahli PSSCMUIAM dan juga Alumni PSSCMUIAM bekerjasama dalam menjayakan persembahan demonstrasi Parang Lading. Tambahan pula, semua Alumni yang menyertai persembahan ini sudah mempunyai kerjaya masing-masing dimana ada yang menjadi peguam, pengetua sekolah dan juga CEO syarikat sendiri.

Alhamdulillah, program ini berjalan dengan jayanya dengan bantuan dan sokongan yang tidak henti yang diberikan oleh Bahagian Alumni dan Perkhidmatan Kerjaya UIAM kepada PSSCMUIAM.

Leave a comment