Berita Terkini

Penasihat PSSCMUIAM

Bersyukur kita kepada Allah SWT dengan limpah kurniaNya serta rahmatNya dan dengan berkat junjungan besar Nabi Muhammad SAW , serta dengan karamah dan hikmah kedua ibu bapa kita, pihak PSSCMUIAM telah berjaya mengorak selangkah dengan terbitnya laman sesawang rasmi bagi persatuan ini.

Sekalung tahniah diucapkan kepada pihak PSSCMUIAM kerana dengan berkat kerjasama dan usaha yang dipupuk antara ahli, akhirnya laman sesawang rasmi persatuan ini berjaya diwujudkan. Ini membuktikan perjuangan silat cekak adalah selaras dengan perkembangan semasa. Sekaligus mengiktiraf PSSCMUIAM sebagai contoh kepada IPT lain sebagai sebuah persatuan yang mempunyai matlamat dan tujuan yang jelas disamping ahli yang sentiasa bersedia memberikan komitmen yang tidak berbelah bagi kepada persatuan.

Laman sesawang PSSCMUIAM ini secara jelasnya menampakkan tujuan utama pembinaannya iaitu bertindak sebagai wadah penyatu antara ahli yang masih belajar di dalam UIAM mahupun yang telah menamatkan pengajian. Selain itu, ia juga bertindak sebagai medium bagi setiap ahli berhubung dan menyampaikan maklumat dengan lebih berkesan dan jitu. Secara tidak langsung, ini telah membuktikan bahawa silat cekak membawa tiga elemen penting iaitu persilatan, perguruan dan persatuan.

Kelebihan teknologi masa kini telah digunakan dengan sebaiknya oleh persatuan ini. Oleh itu, adalah diharapkan laman sesawang ini sentiasa mendapat sambutan daripada setiap ahli. Saya juga berharap agar dengan adanya laman sesawang rasmi persatuan ini, ia dapat mengukuhkan ukhwah yang sedia terbina demi kemaslahatan perjuangan silat cekak. Bahkan saya turut percaya PSSCMUIAM akan berjaya mencapai segala matlamat yang dirancang dimasa akan datang.

Akhir kata, saya berharap agar laman sesawang ini dapat mengumpulkan lebih ramai ahli baru dan lama dan sekali gus menjadi daya penarik dikalangan bukan ahli bagi membuka minat menyertai PSSCMUIAM. Diharapkan semoga setiap ahli memberikan sokongan dan kerjasama yang tidak berbelah bahagi dalam membantu persatuan melaksanakan apa jua perkara yang dirasakan bermanfaat.

Sekian, terima kasih.

Dr Adli Bin Hj. Yaacob

Penasihat,

Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia UIAM