Berita Terkini

Yang Di-Pertua PSSCMUIAM

YDP 2012-2013

Alhamdu-Lillah, bersyukur kita kehadrat Ilahi, dengan limpah kurnianya, dengan berkat kekasihnya, junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, dengan berkat guru-guru kita, karamah dan hikmah kedua ibu bapa kita maka dapatlah kita sama-sama menyiapkan Laman Web Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia UIAM.

Terlebih dahulu saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada ahli jawatankuasa laman web ini yang telah bertungkus-lumus mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit untuk menyiapkan laman web rasmi ini.

Laman web ini telah ditubuhkan bagi menjadi medium bagi ahli-ahli untuk berkongsi idea ataupun pendapat seterusnya dapat menyatukan ahli-ahli PSSCMUIAM selaras dengan saranan Guru Utama iaitu Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah iaitu mahu semua ahli-ahli PSSCM untuk Bersama dan Bersatu.

Tidak dilupakan kepada penyelia kelas latihan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia UIAM yang telah banyak menyumbangkan idea-idea yang bernas serta memberikan sokongan sepenuhnya kepada laman web ini untuk terus menjadi wadah kepada ahli-ahli persatuan ini untuk terus berhubung antara satu sama lain.

Seterusnya saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak pentadbir UIAM khususnya dari Unit Sukan dan Rekreasi yang menyokong seratus peratus dalam penubuhan laman web ini. Semoga pihak pentadbir akan terus menerus menyokong Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia UIAM dalam mengembangkan lagi persatuan ini di bumi UIAM.

Akhir kata saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat samada secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan penubuhan laman web ini. Diharapkan kepada seluruh ahli Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia UIAM agar terus menyokong dan memberi kerjasama bagi mencapai matlamat, misi dan visi Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia dalam bersatu untuk memartabatkan silat melayu.

Sekian, wasalam.

Aminuddin Abdul Rashid,

Yang Di-Pertua,

Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia UIAM