Penyelia PSSCMUIAM

Alhamdu-Lillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnianya dan berkat kekasihnya junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, berkat guru-guru serta karamah dan hikmah kedua ibu bapa, Portal PSSCMIUAM ini dapat dilancarkan sempena Sambutan 20 Tahun PSSCMUIAM dengan usaha bersungguh-sungguh ahli-ahlinya, serta nasihat dan sokongan PSSCM Pusat melalui Sekretariat IPT Lembah Klang, Jabatan Urusetia.

Mudah-mudahan laman web ini dapat mencapai objektif utamanya iaitu menjadi wadah penting dalam mengeratkan hubungan antara ahli-ahli serta bekas ahli PSSCMUIAM, dan mengemaskinikan pengkalan data ahli-ahli dan bekas ahli. Objektif ini amat bersesuaian dengan pendidikan yang diterapkan oleh Y.M Guru Utama dan Presiden PSSCM Ustaz Haji Ishak bin Itam dan Pengasas PSSCM Y.M Almarhum Ustaz Hanafi Haji Ahmad, iaitu menyemai semangat bersatu di kalangan ahli-ahli PSSCM serta memacu usaha untuk mencapai wawasan memartabatkan silat Melayu.

Portal ini juga diharapkan dapat menjadi saluran berkesan bagi semua bekas ahli PSSCMUIAM dari jauh dan dekat untuk menyumbangkan sesuatu bagi kebaikan PSSCMUIAM khususnya, serta PSSCM amnya. Sumbangan yang disalurkan, sama ada dalam bentuk buah fikiran, penglibatan langsung dalam kegiatan-kegiatan yang dijalankan, atau sumbangan wang ringgit untuk menyokong pengukuhan dana persatuan amat bermakna bagi PSSCMUIAM. Adalah diharapkan juga agar ahli-ahli dan bekas ahli dapat membantu menghebahkan kewujudan portal ini kepada sahabat-sahabat lain yang belum mengetahui kewujudannya agar ia dapat memberi manfaat kepada seramai mungkin ahli-ahli dan bekas ahli PSSCMUIAM.

Akhir kata, saya mengucapkan setinggi penghargaan kepada semua yang menyokong penubuhan laman web ini dan mengalu-alukan sumbangan berterusan daripada semua pihak dalam apa jua bentuk, dari masa ke semasa.

Wassalam.

En. Mohd Fuad Bin Arshad

Penyelia Kelas Latihan

Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Universiti Islam Antarabangsa Malaysia