Sejarah&Pengenalan(Kampus Gambang)

PSSCM UNIVERSIT ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA KAMPUS GAMBANG

 

Penubuhan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) di Universiti Islam  Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Gambang telah dicetuskan dan dicadangkan oleh pelajar-pelajar senior Pusat Asasi UIAM Petaling Jaya yang menjadi ahli-ahli tertinggi pentadbiran Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia UIAM Kampus Petaling Jaya di atas nasihat Ustaz Khaharuddin Bin Abdul Rahman, Penolong Setiausaha Agung 2 PSSCM. Pada malam terakhir penangguhan kelas silat di UIAM Kampus Petaling Jaya bagi semester 2 2013/14, Ustaz Khaharuddin telah mengamanahkan kepada 6 ahli silat cekak yang akan berpindah ke UIAM Kampus Gambang untuk menubuhkan persatuan ini sebaik sahaja kampus itu dibuka. 6 ahli silat tersebut ialah Dzulrazman bin Mohamad, Izz Za’imul Akmal Faiq bin Awak, Mohamad Farid bin Mohamad Jamil, Muhammad Hafiz bin Abd Rahman, Nur Haziq bin Ahmad Nor Hadidi dan Siti Syahirah binti Abd Manan.

 

Pada 20 Januari 2014, keenam-enam ahli silat cekak ini telah dipanggil untuk mengadakan perjumpaan bersama saudara Yusoff Bin Husain Yang Di-Pertua (YDP) PSSCM Cawangan Pahang dan saudara Abdullah Fairuzullah Bin Ahmad Tajuddin. Perjumpaan ini bertujuan untuk membincangkan usul penubuhan PSSCM di UIAM Kampus Gambang. Usul ini dipersetujui oleh YDP kerana pembukaan kelas silat di UIAM Kampus Gambang dapat memberi peluang kepada ahli-ahli silat menamatkan silibus pembelajaran silat cekak di samping untuk mencari ahli-ahli baru untuk semester akan datang.

 

Beberapa hari setelah itu, Saudara Izz Za’imul telah menulis surat kepada Pengetua Mahallah untuk meminta kebenaran membuka kelas di mahallah. Walaubagaimanapun, terdapat sedikit masalah apabila pihak pentadbiran kampus meminta kami untuk mendapatkan pengesahan persatuan daripada UIAM Petaling Jaya. Saudara Dzulrazman telah meminta kepada Saudara Mohd Fitri bin Limat daripada PSSCM UIAM Petaling Jaya untuk mendapatkan dokumen-dokumen yang diperlukan bagi persatuan kami. Setelah beberapa hari, dokumen-dokumen tersebut telah dihantar kepada Saudara Dzulrazman untuk diberikan kepada pihak pentadbiran UIAM Kampus Gambang.

 

Setelah segala urusan dengan pihak pentadbiran kampus selesai, dengan rahmat Tuhan Yang Maha Esa, kelas pertama silat cekak dapat dilaksanakan pada 29 Januari 2014 yang bertempat di Gimnasium Mahallah Al-Biruni. Kelas ini telah diketuai oleh saudara Abdullah Fairuzullah Bin Ahmad Tajuddin selaku tenaga pengajar dan penolong penyelia PSSCM UIAM Kampus Gambang.

 

Pada 3 Februari 2014, PSSCM UIAM Gambang telah menukar tempat latihan atas arahan pihak pentadbiran kampus. Setelah berbincang, tempat kelas telah dipindahkan ke sebuah kawasan yang terletak berhampiran dengan stor mahallah. Tempat ini telah dibenarkan oleh pihak pentadbiran kampus dan pengetua mahallah untuk dijadikan sebagai tempat latihan. Di tempat inilah kelas-kelas seterusnya diadakan.

 

Pada 2 Mac 2014, keenam-enam pelajar silat telah menghadiri majlis ijazah kelas potong di rumah persatuan cawangan Pahang yang bertempat di Kampung Tanjung Api, Kuantan. Dengan mendapat ijazah daripada Yang Mulia Datuk Haji Maideen bin Kadir Shah selaku guru utama PSSCM, maka keenam-enam pelajar silat ini telah rasmi dan dibenarkan untuk meneruskan silibus silat cekak kelas potong.

 

Pada 10 April 2014, kumpulan demonstrasi UIAM Kuantan telah mempersembahkan demonstrasi silat cekak sebagai pembukaan kepada program MaDeen yang telah diadakan oleh gabungan beberapa persatuan yang ada di UIAM Gambang.


 

Leave a comment