Berita Terkini

Penyelia PSSCMUIAM(Kuantan)

a.usop

Bersyukur kita kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya, Taufik dan hidayahNYA serta dengan syufaat dan berkat KekasihNya Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, dengan usaha ahli jawatankuasa Webteam maka dapatlah laman sesawang rasmi psscmuiam.org disiarkan. Tahniah juga kepada Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) UIAM Kuantan yang telah mencapai usia penubuhan selama empat tahun pada tahun 2014.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran di atas Rahmat dan Kurnia Allah SWT kepada PSSCM yang telah berjaya menubuhkan ahli jawatankuasa Webteam untuk memajukan laman sesawang PSSCMUIAM ini seterusnya menjadi wadah yang efisyen dalam menyebarkan ajaran Nabi Muhammad s.a.w. melalui dunia persilatan selari dengan dunia pada hari ini yang serba canggih.

PSSCM telah melakar pelbagai sejarah yang dikagumi semenjak diasaskan oleh Al-marhum Ustaz Hanafi Bin Hj. Ahmad dan disambung oleh YM Tn. Hj. Ishak Bin Itam sebelum mandat ini diteruskan oleh Guru Utama sekarang, Datuk Hj. Maideen Bin Kadir Shah. Justeru, usaha murni bagi memartabatkan jati diri anak Melayu khususnya Seni Silat wajar dilaksanakan dengan sebaik mungkin dan dimuliakan sebagai satu amanah dari guru-guru kita demi kesinambungan generasi akan datang.

Justeru, marilah kita sama-sama mengambil iktibar melalui firman Allah swt dalam surah Al-An’am ayat 162 yang bermaksud, “Katakanlah (Muhammad), sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan seluruh alam.” Semoga usaha dakwah melalui elemen persatuan, perguruan dan persilatan di dalam PSSCMUIAM Kuantan diterima oleh Allah berbekalkan rasa ikhlas kita sebagai hamba-Nya.

Semoga amanah bangsa ini diperjuangkan bagi mencapai cita-cita seperti yang telah digariskan oleh pengasas PSSCM,Ustaz Hanafi bin Hj Ahmad. Saya berdoa dengan Taufik dan Hidayah serta dengan syufaat serta berkat guru-guru kita dan karamah dan hikmah kedua ibu bapa kita maka Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia UIAM Kuantan akan terus berjaya demi agama, bangsa dan negara.
Sekian, Wassalam.

En.Yusoff Bin Husain

Penyelia Kelas Latihan

Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Kuantan, Pahang.

 

Leave a comment