Berzanji

Written by webteam on . Posted in Artikel, Penulisan

Bangsa melayu memang kaya dengan pelbagai adat dan budaya. Lanjutan dari artikel yang lepas, artikel kini mengeluarkan tajuk mengenai berzanji. Berzanji atau Barzanjii alah suatu doa-doa, puji-pujian dan penceritaan tentang riwayat hidup Nabi Muhammad s.a.w. yang dilafazkan dengan suatu irama atau nada yang biasa dibacakan ketika majlis aqiqahkhatanperkahwinan dan Maulidur Rasul.

Isi bait-bait bagi setiap lafaz berzanji menceritakan tentang kehidupan Nabi Muhammad, yang disebutkan secara berturutan mengenai salasilah keturunannya, zaman kanak-kanak, remaja, pemuda sehingga diangkat menjadi rasul. Di dalamnya juga mengisahkan sifat-sifat mulia yang dimiliki Nabi Muhammad, serta pelbagai peristiwa untuk dijadikan teladan umat manusia.

Nama Berzanji diambil dari nama pengarangnya yaitu Sheikh Ja’far al-Barzanji bin Husin bin Abdul Karim. Beliau lahir di Madinah pada tahun 1690 dan meninggal dunia pada tahun 1766. Barzanji berasal dari nama sebuah tempat di Kurdistan, Barzanji. Karya tersebut sebenarnya berjudul ‘Iqd al-Jawahir (Bahasa Arab, bererti kalung permata) yang disusun untuk meningkatkan rasa kecintaan kepada Nabi Muhammad saw, meskipun kini nama penulisnya yang lebih dikenali. Sheikh Ja’far al-Barzanji bin Husin bin Abdul Karim mendapat didikan dan asuhan terus dari bapanya. Beliau  telah belajar Al-Quran dari Sheikh Ismail Al-Yamani RA. Selain itu beliau juga telah berguru dengan ramai lagi ulama’ yang tahkik dalam  ilmu masing-masing.

Oleh itu, tiada percanggahan tentang kehidupan beliau sebagai seorang Islam  sepeti mana yang diuar-uarkan oleh golongan wahabi. Kumpulan sajak-sajak atau puji-pujian seperti berzanji ini, tidaklah melanggar syara’ seperti mana yang dikatakan oleh golongan wahabi, bahkan digalakkan kerana kita juga diperintahkan Allah untuk berselawat keatas baginda berdasarkan firman Allah : Firman Allah (s.w.t) yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya bershalawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya”. [Surah Al-Ahzab: 56]

Banyak lagi hadis dan ayat Al-Quran yang menyuruh kita berselawat keatas baginda. Antara hadith yang menganjurkan selawat ke atas baginda adalah :

  1. Sabda Rasulullah (S.A.W.) yang bermaksud: “Barangsesiapa yang berselawat ke atasku dengan sekali selawat nescaya Allah (s.w.t) akan berselawat ke atasnya sepuluh kali”. [Hadith riwayat Imam Muslim daripada Abdullah bin Amru bin Al-‘Ass r.a]
  2. Sabda Rasulullah (S.A.W.) yang bermaksud: “Sesungguhnya manusia yang paling utama denganku pada hari kiamat ialah yang paling banyak berselawat ke atasku”. [Hadith riwayat Imam Tirmizi daripada Abdullah bin Mas’ud r.a]
  3. Sabda Rasulullah (S.A.W.) juga yang bermaksud: “Barangsiapa yang berselawat ke atasku sekali nescaya Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali”. [Hadith riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a]

Menerusi dalil-dalil inilah samada dalil yang dirujuk dari Al-Quran serta hadis-hadis rasulullah s.a.w yang muktabar dari hadis-hadis yamg martabatnya pada peringkat hadis sahih dan hasan, kesemuanya juga dapat diterima pakai sebagai sebuah rujukan yang tidak ada percanggahan di sisi syara’ serta didalam iktikad ahlussunnah wal jama’ah pada keseluruhannya. Perlu diingat, asas kewujudan wahabbi itu hadirnya untuk mengelirukan akidah dan pegangan bagi setiap pengikut ahlussunnah wal jamaah dengan menggunakan matan-matan hadis rasulullah s.a.w secara zahiriah semata-mata tanpa mengambil kira asas-asas hujahan dan rujukan serta syarah-syarah bagi setiap intipati hadis-hadis tersebut.

Selain itu, kekeliruan yang diwujudkan oleh golongan ini adalah berdasarkan dari agenda musuh-musuh Islam bukan sekadar Yahudi dan Nasrani semata-mata akan tetapi agen-agen ini juga turut ada dikalangan ummat Islam sendiri kerana iktikad dan kesatuan ummat Islam mampu dirobohkan dari dalam sekiranya ummat Islam tidak bersatu mempertahankan akidah tersebut.

Jika di hari kelahiran Nabi, kita berkumpul dan membacakan ayat-ayat yang memuji Nabi yang digubah menjadi puisi-puisi maka adakah kita membuat perbuatan yang haram??!!…

Seperti yang kita sedia maklum, barzanji bermaksud doa-doa, puji-pujian, dan penceritaan riwayat Nabi Muhammad S.A.W. yang dilafazkan dengan satu irama atau nada. Sehubungan dengan itu, selawat adalah jamak dari kalimat solat. Selawat menurut bahasa ertinya ialah doa, rahmat dari Allah, memberi berkah dan ibadat. Menurut pendapat segelintir ulamak seperti Abu Bakar Ar-Razi dan Ibnu Hazmin, berselawat wajib dalam seumur hidup walaupun sekali. Begitu juga menurut pendapat Abu Bakar ibnu Al-Baqir, selawat wajib dibaca tanpa mengira bilangannya.

Namun begitu, amalan yang baik ini tetap dianggap salah oleh golongan wahabi. Mereka berpendapat bahawa barzanji/berzanji merupakan amalan bid’ah, dan juga haram. Justeru, kita sebagai seorang hamba Allah yang dibekalkan dengan akal fikiran yang waras, kita tidak seharusnya menerima sesuatu pendapat secara bulat-bulat tanpa membuat perbandingan dan mengkaji dengan lebih menyeluruh hingga ke intipati sesuatu hadith itu, bukan sekadar zahirnya sahaja.

Berzanji juga dapat dikaitkan dengan konsep selawat dimana kedua-duanya merupakan puji-pujian kepada baginda S.A.W. Syair-syair ataupun bait-bait yang dikarang oleh beliau merupakan salah satu cara atau wasilah(jalan) untuk memperingati baginda S.A.W. Seperti yang telah termaktub di dalam Al-Quran mafhumnya : “…Maka orang-orang yang beriman kepadanya (Nabi) dan memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang beruntung.”[1]

Firman-Nya lagi : “Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan carilah perantara (wasilah) untuk mendekatkan diri kepada-NYA, supaya kamu mendapat keuntungan.”[2]

Rentetan itu, adakah perbuatan mengagungkan dan menghormati Nabi ini hanya perlu dilakukan ketika masa hidup Baginda? Sudah tentu tidak! Bahkan baginda harus tetap dihormati dan diagungkan selamanya.

Ramai antara kita yang tidak mengetahui konsep amalan berzanji ini sebenarnya bertujuan sebagai penghormatan kepada baginda atas segala pengorbanan baginda serta sahabat-sahabat terdekat baginda dalam usaha menyebarkan risalah agung di atas muka bumi ini. Jadi, tidak salahlah jika kita memuji baginda, bertepatan pula dengan firman Allah dalam kitab-Nya yang benar : “Dan telah Kami tinggikan namamu (Nabi).”[3]

Justeru, adakah dengan mengamalkan amalan berzanji ini menyalahi aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, sedangkan al-Quran sendiri menyuruh kita memuliakan Nabi. Lebih-lebih lagi, amalan memuji Nabi boleh dikira sebagai ibadah kerana ibadah ialah melakukan sesuatu perbuatan atau perkataan yang baik hanya kerana Allah. Allah telah memerintahkan kita supaya memuliakan Baginda dan sekiranya kita melaksanakannya atas sebab perintah Allah maka itu sudah dikira sebagai ibadah.

Maka, berselawatlah ke atas Rasulullah S.A.W sebagai tanda kasih dan sayang kepada baginda kerana orang yang paling utama di sisi Rasulullah S.A.W. adalah dia yang banyak berselawat ke atas baginda.

Tambahan lagi, sibukkanlah diri dengan berselawat ke atas Nabi S.A.W. agar masa yang ada di dalam kehidupan dunia ini tidak terbuang dengan sia-sia dan sebagai bekalan bagi kehidupan akhirat yang kekal abadi. Wallahua’lam…

*Syaikh Ja’far Subhani, Tawassul Tabarruk Ziarah Kubur Karamah Wali Termasuk Ajaran Islam  Kritik Atas Faham Wahabi, 1993, Terbitan Victory Agencie Kuala Lumpur, m/s 92,93,96,107,141.

*Drs. Hanafi Mohamed, 99 Selawat Nabi Muhammad S.A.W. Fadhilat & Khasiatnya, 1994, Terbitan Darul Nu’man, m/s 1,3.


[1] Surah Al-A’raf, ayat 157.

[2] Surah Al-Maidah, ayat 35.

[3] Surah Al-Insyirah, ayat 4.

Trackback from your site.

Leave a comment